Kemudi ke hadapan untuk mengakses hasil yang dicadangkan

    Menjadikan ulasan lebih adil untuk hos

    Airbnb sedang memperbaiki proses ulasan supaya lebih adil dan tepat untuk hos.
    Oleh Airbnb pada 7 Mac 2019
    Bacaan 3 minit
    Dikemas kini pada 5 Mac 2020

    Ramai daripada anda telah bertanya kepada kami bagaimana Airbnb boleh melindungi hos daripada ulasan buruk sekali beri. Apabila soalan ini muncul pada Soal Jawab Hos terkini, kami telah memberitahu anda bahawa kami sedang berusaha untuk menjadikan proses ulasan lebih adil untuk hos. Khususnya, kami telah menjanjikan dua perkara:

    1. Kami komited untuk melancarkan alat untuk mengesan ulasan terpencil—atau ulasan buruk sekali beri. Contoh lazim ialah apabila terdapat percanggahan antara penarafan keseluruhan dan penarafan kategori yang diberikan oleh tetamu (apabila tetamu memberikan hos 5 bintang untuk kebersihan, ketepatan, dan kategori lain tetapi penarafan 2 bintang untuk keseluruhan, contohnya).
    2. Berdasarkan maklum balas anda, kami juga komited untuk meneroka cara membantu tetamu memahami lebih baik bahawa penarafan kategori lokasi sepatutnya bersifat objektif. Penarafan kategori lokasi tidak memberi kesan kepada penarafan keseluruhan anda (atau status Superhost), tetapi kami tahu ia penting untuk anda, dan kami mahu memastikan keseluruhan sistem adalah seadil mungkin.

    Hari ini, kami teruja untuk mengumumkan dua penambahbaikan kepada proses ulasan yang menangani isu-isu ini secara langsung. Sejak perubahan ini diperkenalkan, kami dapat melihat peningkatan yang ketara dalam ulasan yang lebih tepat dan adil untuk hos, dan kami berharap ia menyelesaikan beberapa kegusaran anda. Berikut ialah perkara-perkara yang baru diperkenalkan:

    Amaran ulasan sekali beri
    Kami telah menambah satu langkah dalam proses ulasan oleh tetamu apabila mereka memberi hos penarafan keseluruhan yang tidak konsisten. Contohnya, tetamu mungkin telah memberikan penarafan 4 bintang atau lebih untuk semua kategori (kebersihan, ketepatan, dll.), tetapi kemudian memberikan penarafan keseluruhan kurang daripada 3 bintang.

    Tetingkap timbul baru bertanya kepada tetamu: “Adakah ini betul?” Dan akan menjelaskan bahawa mereka menilai penginapan keseluruhan mereka lebih rendah berbanding penilaian mereka dalam kategori tertentu. Ia memberikan tetamu pilihan untuk mengubah penarafan atau mengabaikan amaran.

    Amaran baharu ini telah membawa kepada penarafan ulasan keseluruhan yang lebih tinggi untuk hos. Sejak kami melancarkannya, kami telah menyaksikan penurunan 2.8% dalam ulasan 3 bintang dan penurunan 3.9% dalam ulasan 2 bintang. Walaupun peratusan ini mungkin kelihatan kecil, ia memacu penambahbaikan sebenar dalam ketepatan sistem ulasan kami, dan hos mendapat manfaatnya.

    Lokasi, lokasi, lokasi
    Kami dimaklumkan oleh anda bahawa penarafan lokasi boleh jadi agak mengecewakan kerana ada di antara anda telah mendapat tetamu yang memberi penarafan rendah dalam kategori ini, tanpa dijangka, selepas penginapan yang hebat. Kategori ini rumit. Ia memberikan maklumat berharga kepada bakal pengembara, yang kita tidak mahu terlepas. Pada masa yang sama, kami peka dengan kebimbangan anda bahawa anda sedang dinilai untuk sesuatu yang anda tidak boleh kawal: pendapat tetamu mengenai lokasi anda. Pendapat ini bersifat subjektif. “percutian gaya desa di luar bandar" bagi seseorang mungkin bermaksud “terlalu jauh daripada pengangkutan awam" untuk orang lain. Jadi kami menerangkan dengan lebih jelas dalam proses ulasan bahawa tetamu menilai ketepatan keterangan lokasi anda, berbanding lokasi itu sendiri.

    Kini, apabila tetamu menilai anda dalam kategori lokasi, jika mereka memberikan anda kurang daripada 3 bintang, mereka akan melihat penjelasan: “Adakah lokasi penyenaraian tidak diterangkan dengan tepat?” Setakat ini, ini telah membawa kepada peningkatan 0.8% dalam penarafan purata bagi lokasi.

    Sambil kami memperbaiki perkara ini, kami juga membuat penambahbaikan yang serupa kepada kategori nilai. Jika tetamu memberikan anda kurang daripada 3 bintang dalam kategori nilai, mereka akan melihat mesej ini: “Apakah yang akan menjadikan penyenaraian ini lebih bernilai?” Ini telah membawa kepada peningkatan 0.25% dalam penarafan purata bagi nilai.

    Perubahan ini direka untuk mula menangani kebimbangan anda mengenai ulasan yang tidak adil, dan untuk membantu memastikan tetamu memahami apa maksud penarafan. Perjalanan kami masih panjang untuk terus menambah baik sistem ulasan, dan anda akan terus melihat pengemaskinian daripada kami berkenaan ini sepanjang tahun. Terima kasih kerana menjadi hos!

    Maklumat yang terkandung dalam artikel ini mungkin telah berubah sejak penerbitan.

    Airbnb
    7 Mac 2019
    Adakah ini membantu?