Memahami amalan terbaik sebagai hos
Sorotan
Balas mesej tetamu dan jawab sebarang mesej berkaitan tempahan dalam tempoh 24 jam
Tetapkan syarat tempahan agar anda rasa selesa untuk menerima lebih ramai tetamu
Elakkan pembatalan dengan sentiasa memastikan kalendar anda terkini
Dapatkan ulasan yang baik dengan mengikut standard hospitaliti Airbnb
Ketahui lebih lanjut di panduan lengkap kami untuk menerokai dunia pengehosan
Sebagai hos Airbnb, anda bukan sekadar akan memperoleh pendapatan daripada penginapan anda, malah anda juga akan bertemu orang yang menarik daripada seluruh dunia. “Kami pernah menerima tetamu seperti pembuat dron, penulis lagu profesional dan pemain sarkas," kata hos Beverlee dan Suzie dari Oakland, California. “Kerjaya ini benar-benar telah memperkaya kehidupan kami berdua.” Sesiapa sahaja yang ada ruang untuk dikongsi bolehmenjadi hos Airbnb. Pastikan anda bersedia untuk menepati standard asas yang ditetapkan oleh Airbnb untuk memastikan pengalaman yang selesa dan boleh dipercayai untuk setiap tetamu. Berikut ialah perkara asas yang dilakukan oleh hos yang hebat:
Jawab setiap pertanyaan dan permohonan tempahan dalam tempoh 24 jam
Menjawab dengan cepat apabila tetamu menghubungi anda menunjukkan bahawa anda seorang hos yang prihatin dan bertimbang rasa. Penting untuk menjawab mesej yang berkaitan dengan tempahan dalam tempoh 24 jam. Kadar jawapan yang tinggi bukan sekadar tanda hospitaliti yang memuaskan, itu merupakan salah satu kriteria untuk menjadi Superhost.
Pertimbangkan untuk memuat turun aplikasi Airbnb supaya anda boleh menjawab mesej daripada mana-mana saja. Dan sebagai penjelasan, walaupun menjawab setiap mesej tetamu merupakan amalan yang baik sebagai hos, kadar jawapan anda dikira berdasarkan jawapan anda secara khusus kepada mesej yang berkaitan dengan tempahan.
Terima permohonan tempahan
Data Airbnb menunjukkan bahawa hos cenderung untuk menerima majoriti permohonan tempahan yang mereka terima untuk tarikh mereka yang tersedia. Anda boleh menggunakan tetapan ketersediaan dalam kalendar anda untuk menyekat mana-mana hari yang anda tidak pasti anda boleh menjadi hos.
Jika anda kelihatan seperti menolak banyak permohonan tempahan, Airbnb mungkin menganggap anda tidak tersedia untuk menjadi hos dan mungkin menunda penyenaraian anda sehingga anda ada lebih banyak masa. Untuk memastikan anda boleh menerima sebanyak mungkin permohonan tetapi masih rasa selesa dengan setiap tempahan, pertimbangkan pilihan ini:
- Tambah pengesahan ID kepada syarat-syarat tempahan anda
- Tambah Peraturan Penginapan untuk menetapkan jangkaan dengan tetamu
- Jika anda menghidupkan Tempahan Segera, anda juga boleh mewajibkan tetamu untuk mempunyai ulasan positif daripada hos lain sebelum menempah
Elakkan pembatalan
Pembatalan dilihat sebagai sesuatu yang serius oleh Airbnb. Ia bukan sahaja menyusahkan tetamu—rancangan perjalanan mereka bergantung kepada anda!—malah keyakinan dalam seluruh komuniti juga terjejas. Itulah sebabnya, selain daripada sebarang keadaan peringan, pembatalan perlu dielakkan. Untuk meminimumkan risiko pembatalan anda:
- Pastikan ketersediaan dan harga anda sentiasa terkini
- Menjangkakan acara khas atau percutian apabila anda mungkin mahu menggunakan ruang anda atas sebab peribadi, atau tingkatkan kadar semalam anda
- Jika atas sebab tertentu kalendar anda tidak terkini atau anda hanya mahu meluluskan setiap permohonan tempahan yang dihantar kepada anda, pertimbangkan untuk mematikan Tempahan Segera
- Jika anda menyenaraikan ruang anda di tapak web lain, hidupkan ciri penyegerakan kalendar untuk menghalang lebih daripada seorang tetamu menempah pada hari yang sama
Mengekalkan penarafan keseluruhan yang tinggi
Setelah setiap penginapan berakhir, tetamu akan memberikan ulasan tentang pengalaman mereka dengan anda. Ulasan positif membantu anda mendapat lebih banyak tempahan dan boleh membantu anda memperoleh status Superhost. Hos yang mendapat ulasan yang baik cenderung untuk memberikan tumpuan kepada perkara berikut:
- Kebersihan: Tetamu akan mengharapkan ruang yang bersih dan kemas seperti yang mereka lihat dalam gambar penyenaraian anda. Pastikan anda memperuntukkan masa yang mencukupi untuk membersihkan ruang sebelum ketibaan tetamu berikutnya, terutamanya jika anda ada tempahan yang berturut-turut.
- Kemudahan penting: Tetamu menghargai usaha anda apabila beberapa kemudahan asas disediakan. Airbnb mengesyorkan anda menyediakan tisu tandas, sabun tangan dan badan, cadar/linen, dan sekurang-kurangnya satu tuala dan bantal bagi setiap orang.
- Butiran penyenaraian yang tepat: Bantu pengembara memutuskan sama ada ruang anda memenuhi keperluan mereka dengan memberikan maklumat butiran penting yang jelas.
- Proses daftar masuk yang lancar: Proses daftar masuk yang jelas dan mudah akan membolehkan tetamu anda berehat dengan tenang selepas perjalanan seharian.
- Komunikasi proaktif: Tetamu rasa lebih tenang jika mengetahui bahawa anda boleh dihubungi sepanjang penginapan mereka. Hubungi tetamu lebih awal untuk menyelaraskan rancangan ketibaan.
Untuk mendapatkan tip selanjutnya tentang mengekalkan penarafan keseluruhan tinggi, lihat halaman Hospitalitikami.
Semuanya bergantung kepada keadaan keseluruhan
Airbnb tidak mengharapkan setiap tempahan akan berjalan dengan sempurna dari awal hingga akhir—anda akan banyak belajar dan mengubah gaya pengehosan anda apabila anda mendapat lebih banyak pengalaman. Mengikuti garis panduan merupakan langkah pertama yang baik untuk memastikan kepuasan tetamu, mendapat ulasan yang positif dan kepuasan anda dalam menjadi hos.
Sorotan
Balas mesej tetamu dan jawab sebarang mesej berkaitan tempahan dalam tempoh 24 jam
Tetapkan syarat tempahan agar anda rasa selesa untuk menerima lebih ramai tetamu
Elakkan pembatalan dengan sentiasa memastikan kalendar anda terkini
Dapatkan ulasan yang baik dengan mengikut standard hospitaliti Airbnb
Ketahui lebih lanjut di panduan lengkap kami untuk menerokai dunia pengehosan