Polisi Kejadian Gangguan Besar
Polisi ini sedang dikemas kini. Polisi baharu dipaparkan di bahagian atas halaman ini dan akan terpakai kepada semua tempahan yang berlangsung pada atau selepas 6 Jun 2024, kecuali dimaklumkan sebaliknya oleh Airbnb kepada pengguna. Polisi sedia ada dipaparkan di bahagian bawah halaman dan terpakai kepada tempahan terdahulu.
Tarikh berkuatkuasa: 6 Jun 2024
Gambaran keseluruhan
Secara umum, pembatalan dan bayaran balik untuk tempahan Airbnb ditadbir oleh polisi pembatalan penyenaraian. Dalam keadaan yang jarang berlaku di mana kejadian berskala besar menghalang atau melarang tempahan daripada berlangsung secara sah, Polisi Kejadian Gangguan Besar ("Polisi") mungkin terpakai. Apabila polisi ini terpakai, tetamu boleh membatalkan tempahan mereka dan menerima bayaran balik, kredit perjalanan, dan/atau pertimbangan lain tanpa mengira polisi pembatalan tempahan, dan hos boleh membatalkan tempahan tanpa yuran atau akibat buruk lain, walaupun kalendar penyenaraian mereka akan disekat untuk tarikh tempahan yang dibatalkan.
Polisi ini terpakai kepada tempahan untuk penginapan dan pengalaman, dan terpakai kepada tempahan yang sedang berlangsung atau yang mempunyai daftar masuk pada atau selepas tarikh berkuatkuasa, kecuali dimaklumkan sebaliknya oleh Airbnb kepada pengguna. Polisi Kejadian Gangguan Besar bukan polisi insurans.
Kejadian apa yang dilindungi
Kejadian berikut dilindungi di bawah polisi ini jika ia memberi kesan kepada lokasi tempahan anda, berlaku selepas tempahan dibuat, dan menghalang atau melarang secara sah tempahan yang akan datang atau sedang berlangsung diselesaikan (dirujuk dalam Polisi ini sebagai "Kejadian"):
Pengisytiharan keadaan kecemasan dan wabak kesihatan awam. Wabak, pandemik, dan keadaan kesihatan awam yang diisytiharkan oleh kerajaan. Ini tidak termasuk penyakit yang bersifat endemik (contohnya, selesema) atau lazimnya dikaitkan dengan sesuatu kawasan (contohnya, malaria di Thailand). COVID-19 tidak dilindungi di bawah Polisi Kejadian Gangguan Besar ini.
Sekatan perjalanan kerajaan. Sekatan perjalanan mandatori yang dikenakan oleh agensi kerajaan, seperti perintah pemindahan. Ini tidak termasuk nasihat perjalanan yang tidak mengikat dan panduan kerajaan yang serupa.
Tindakan ketenteraan dan permusuhan lain. Tindakan perang, persengketaan, pencerobohan, perang saudara, keganasan, letupan, pengeboman, penentangan, rusuhan dan pemberontakan.
Gangguan utiliti penting berskala besar. Gangguan utiliti penting yang berpanjangan, seperti sistem pemanasan, air dan elektrik, yang memberi kesan kepada sebahagian besar kediaman di lokasi tertentu.
Bencana alam. Bencana alam dan kejadian cuaca buruk yang lain. Keadaan cuaca atau semula jadi yang selalu berlaku dan boleh diramalkan di lokasi tertentu—contohnya, taufan yang berlaku semasa musim taufan di Florida—hanya dilindungi apabila ia mengakibatkan kejadian lain yang dilindungi oleh polisi ini yang menghalang tempahan dilaksanakan, seperti perintah pemindahan mandatori atau gangguan utiliti penting secara berskala besar.
Apa yang berlaku jika tempahan terjejas oleh kejadian yang dilindungi
Apabila kejadian berskala besar berlaku, kami menilai situasi tersebut untuk menentukan sama ada Polisi Kejadian Gangguan Besar terpakai. Jika terpakai, kami akan mengaktifkan polisi untuk kawasan yang terjejas dan rangka masa yang kami jangkakan kejadian tersebut akan menghalang atau melarang tempahan daripada berlangsung secara sah. Tempahan di luar kawasan dan rangka masa yang ditetapkan mungkin tidak layak, walaupun hos masih boleh membatalkan tempahan tanpa kesan buruk jika mereka tidak dapat menjadi hos. Kami terus memantau situasi ini dan menyesuaikan perlindungan jika perlu untuk mencerminkan keadaan yang berubah. Jika anda percaya polisi ini terpakai kepada tempahan anda, sila hubungi kami untuk bertanya tentang kelayakan.
Perkara yang tidak dilindungi
Kami faham bahawa keadaan lain di luar kawalan anda boleh mengganggu rancangan anda. Dalam situasi yang tidak disenaraikan di atas, tempahan anda tetap tertakluk pada polisi pembatalan hos untuk penyenaraian tersebut.
Contoh kejadian biasa yang tidak dilindungi oleh polisi ini termasuk:
- Kejadian yang memberi kesan kepada tetamu atau keupayaan mereka untuk mengembara, tetapi bukan di lokasi tempahan
- Kecederaan atau penyakit yang tidak dijangka
- Kewajipan kerajaan seperti tugas juri atau kehadiran ke mahkamah
- Nasihat perjalanan yang tidak mengikat atau panduan kerajaan lain yang tidak termasuk larangan atau sekatan perjalanan
- Acara yang menjadi sebab tempahan dibuat telah dibatalkan atau dijadualkan semula
- Gangguan pengangkutan yang tidak berkaitan dengan kejadian yang dilindungi, seperti ketakmampuan bayar syarikat penerbangan, mogok pengangkutan dan penutupan jalan akibat penyelenggaraan
Untuk tempahan yang tidak dilindungi oleh polisi ini, kami menggalakkan tetamu dan hos untuk mencari aturan yang dipersetujui bersama, seperti bayaran balik penuh atau sebahagian atau pindaan tarikh tempahan. Harap maklum bahawa sebarang bayaran balik di luar polisi pembatalan tempahan adalah mengikut budi bicara hos. Airbnb tidak terlibat atau menjamin bayaran balik tersebut.
Bagaimana polisi ini memberi kesan kepada hos
Jika tempahan dilindungi oleh Polisi Kejadian Gangguan Besar, hos boleh membatalkan tempahan tanpa yuran atau akibat buruk lain. Jika hos membatalkan tempahan di bawah polisi ini, kalendar penyenaraian mereka akan disekat untuk tarikh-tarikh tempahan yang dibatalkan. Jika tempahan dibatalkan di bawah polisi ini, hos tidak menerima pembayaran untuk tarikh tempahan yang dibatalkan, atau, jika pembayaran telah dibuat, jumlah yang dibayar balik akan ditahan daripada pembayaran seterusnya.
Tidak kira sama ada tempahan dilindungi oleh polisi ini, hos boleh membatalkan tempahan atas sebab-sebab tertentu yang sah, seperti kerosakan besar kepada penyenaraian, tanpa yuran atau akibat buruk lain. Hos perlu membatalkan tempahan jika penyenaraian mereka tidak boleh didiami atau tidak konsisten dengan yang ditempah tetamu; kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan penyenaraian dibuang, pembatalan tempahan sedia ada, dan bayaran balik kepada tetamu sehingga penyenaraian boleh didiami dan konsisten dengan keterangan penyenaraian. Kegagalan untuk berbuat demikian juga melanggar Peraturan asas untuk hos, dan boleh membawa kepada akibat sehingga dan termasuk pembuangan akaun.
Perkara lain yang perlu diketahui
Polisi ini tidak mengehadkan hak anda di bawah peraturan tempatan, dan sebarang keputusan yang dibuat oleh Airbnb di bawah polisi ini tidak menjejaskan hak berkanun anda.
Polisi Keadaan Peringan
Tarikh berkuatkuasa: 20 Januari 2021
Gambaran keseluruhan
Polisi Keadaan Peringan ini menerangkan bagaimana pembatalan dikendalikan apabila kejadian yang tidak dijangka dan di luar kawalan anda berlaku selepas tempahan dan menyebabkan tempahan anda tidak dapat dilaksanakan atau menyalahi undang-undang. Polisi ini terpakai kepada tempahan untuk penginapan dan pengalaman.
Apabila polisi ini membenarkan pembatalan, ia mengawal dan mengatasi polisi pembatalan tempahan tersebut. Tetamu yang terjejas oleh kejadian yang dilindungi oleh polisi ini boleh membatalkan tempahan mereka dan menerima, bergantung pada keadaan, bayaran balik tunai, kredit perjalanan, dan/atau pertimbangan lain. Hos yang terjejas oleh kejadian yang dilindungi oleh polisi ini boleh membuat pembatalan tanpa akibat yang merugikan mereka, tetapi, bergantung pada keadaan, kalendar mereka mungkin disekat untuk tarikh-tarikh tempahan yang dibatalkan.
Kejadian apa yang dilindungi
Polisi ini menggunakan istilah “Kejadian” untuk merujuk kepada situasi berikut yang berlaku selepas tempahan dibuat, tidak dijangka pada masa tempahan dibuat, dan menghalang atau melarang tempahan daripada berlangsung secara sah.
Perubahan kepada syarat perjalanan kerajaan. Perubahan yang tidak dijangka kepada syarat visa atau pasport yang dikenakan oleh agensi kerajaan yang menghalang perjalanan ke destinasi. Ini tidak termasuk dokumen perjalanan yang hilang atau tamat tempoh atau situasi peribadi lain yang berkaitan dengan kebenaran tetamu untuk membuat perjalanan.
Pengisytiharan darurat dan wabak. Kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat setempat atau nasional, wabak, pandemik dan darurat kesihatan awam. Ini tidak termasuk penyakit yang bersifat endemik atau lazimnya dikaitkan dengan sesuatu kawasan—contohnya, malaria di Thailand atau demam denggi di Hawaii.
Sekatan perjalanan kerajaan. Sekatan perjalanan yang dikenakan oleh agensi kerajaan yang menghalang atau melarang perjalanan ke, menginap di, atau kembali dari lokasi penyenaraian. Ini tidak termasuk nasihat perjalanan yang tidak mengikat dan panduan kerajaan yang serupa.
Tindakan ketenteraan dan persengketaan lain. Tindakan perang, persengketaan, pencerobohan, perang saudara, keganasan, letupan, pengeboman, pemberontakan, rusuhan, gangguan awam dan pergolakan awam.
Bencana alam. Bencana alam, kejadian di luar kawalan, gangguan utiliti penting berskala besar, letusan gunung berapi, tsunami serta kejadian cuaca buruk dan luar biasa lain. Ini tidak termasuk keadaan cuaca atau semula jadi yang selalu berlaku dan boleh diramalkan di lokasi-lokasi tersebut—contohnya, taufan yang berlaku semasa musim taufan di Florida.
Perkara yang tidak dilindungi
Semua perkara lain. Polisi ini hanya membenarkan pembatalan untuk kejadian yang diterangkan di atas. Semua perkara lain dikecualikan. Contoh situasi tidak membenarkan pembatalan di bawah polisi ini termasuk: penyakit, keuzuran atau kecederaan yang tidak dijangka; kewajipan kerajaan seperti tugas juri, kehadiran ke mahkamah atau tugas ketenteraan; nasihat perjalanan atau panduan kerajaan lain (yang bukan larangan perjalanan); pembatalan atau penjadualan semula acara yang menjadi sebab tempahan dibuat untuk menghadirinya; dan gangguan pengangkutan yang tidak berkaitan dengan kejadian yang dilindungi seperti penutupan jalan raya, serta pembatalan penerbangan, kereta api, bas dan feri. Jika anda membatalkan tempahan dalam kes-kes ini, amaun bayaran balik akan ditentukan oleh polisi pembatalan yang terpakai kepada tempahan.
Langkah seterusnya
Jika kami memaklumkan anda atau menyiarkan maklumat yang mengesahkan bahawa polisi ini terpakai kepada tempahan anda, sila ikut arahan pembatalan yang kami berikan. Apabila kami telah memaklumkan anda atau menyiarkan maklumat tentang bagaimana polisi ini terpakai, anda sepatutnya diberi pilihan untuk membuat pembatalan di bawah polisi ini dengan pergi ke halaman Perjalanan anda dan membatalkan tempahan yang terjejas. Jika anda percaya polisi ini terpakai kepada tempahan anda, tetapi kami belum memaklumkan anda atau menyiarkan maklumat tentang kejadian ini, sila hubungi kami untuk membatalkan tempahan anda. Dalam semua kes, anda hendaklah bersedia untuk menyediakan dokumentasi yang menunjukkan bagaimana kejadian tersebut memberi kesan kepada anda atau tempahan anda.
Sekiranya anda ada soalan, sila hubungi kami.
Perkara lain yang perlu diketahui
Polisi ini terpakai kepada semua tempahan dengan tarikh daftar masuk pada atau selepas tarikh berkuatkuasa.
Artikel berkaitan
- Tetamu
Membatalkan perjalanan disebabkan oleh Kejadian Gangguan Besar
Ketahui butiran mengenai syarat dan cara untuk mengambil langkah seterusnya. - Hos
Polisi Pembatalan Hos
Pembatalan boleh mengganggu rancangan tetamu dan menjejaskan keyakinan mereka terhadap komuniti Airbnb. Oleh itu, penalti akan dikenakan jik… - Tetamu
Cari polisi pembatalan hos anda
Jumlah bayaran balik bergantung pada polisi pembatalan hos dan masa dan tarikh anda membatalkan tempahan.