Kemudi ke hadapan untuk mengakses hasil yang dicadangkan

    Apa yang membuatkan Superhost sangat “super”?

    Lima orang Superhost mendedahkan cara mereka meningkatkan layanan mesra mereka ke tahap yang lebih tinggi.
    Oleh Airbnb pada 20 Jun 2019
    Bacaan 6 minit
    Dikemas kini pada 5 Mac 2020

    Untuk meraikan ulang tahun kelima program Superhost, kami menyerlahkan beberapa hos luar biasa yang telah menjadi Superhost dari mula.

    Bulan ini menandakan ulang tahun kelima program Superhost Airbnb, dan kami meraikan pencapaian penting tersebut dengan memberi sorotan kepada beberapa hos luar biasa yang telah mencapai status Superhost berulang kali. Percaya atau tidak, lebih 3,000 hos telah berjaya mendapat status SuperHost selama 20 suku tahun berturut-turut sejak permulaan program ini pada 2014! Kami ingin tahu: Apa yang perlu dilakukan untuk menjadi Superhost selama lima tahun berturut-turut? Di sini, Superhost 20 suku tahun yang terpilih akan berkongsi kisah dan pendekatan unik mereka untuk membawa hospitaliti ke tahap lebih tinggi.

    Larrelle dari Woolamia, Australia
    Walaupun menggambarkan diri sebagai introvert, Larrelle dan suaminya memutuskan untuk terjun menjadi hos Airbnb dengan berkongsi kotej tetamu yang luas di ladang 20 ekar mereka di luar bandar pantai popular Huskisson, Australia. “Saya rasa ia datang secara semula jadi walaupun mengejutkan sebab saya seorang yang lebih suka menyendiri dan lebih tertarik kepada haiwan, tetapi saya benar-benar suka berjumpa orang, mendengar tentang pengembaraan mereka dan berkongsi perkara yang kami ada di sini,” kata Larrelle. “Saya suka melihat kegembiraan di wajah orang apabila mereka berinteraksi dengan keluarga dan haiwan saya.”

    Tetamu berkongsi penginapan ini dengan tiga kuda dan sekumpulan kanggaru liar. “Ia amat berbaloi untuk saya, terutamanya untuk melihat reaksi kanak-kanak, datang dari rumah yang tidak mempunyai anjing, apatah lagi kuda dan kanggaru,” katanya. Larelle mengakui bahawa status Superhost selama 20 suku tahun adalah disebabkan lokasi penginapan yang sesuai dan cukup jauh daripada kesibukan tarikan di kawasannya. Beliau juga memberikan peluang yang unik untuk bersantai, berhubung dengan alam semula jadi dan melibatkan diri dengan kehidupan ladang seberapa banyak yang mereka mahu. “Kami ada ramai tetamu yang akan keluar dan memberi makan haiwan dengan saya atau membantu saya menyikat kuda,” katanya. “Dan tetamu akan bangun tidur dan melihat kanggaru melompat-lompat di luar tingkap mereka. Anda tidak boleh dapat pengalaman ini di mana-mana.”

    Vicky dari Penzance, U.K.
    Pada tahun 2006, Vicky dan pasangannya Joe berpindah dari London ke Penzance, di pantai lasak Cornwall, Great Britain, untuk memenuhi impian mereka iaitu memulakan studio rakaman dan label muzik indie berhampiran laut. Pasangan ini membeli sebuah rumah batu Victoria yang menakjubkan dan menghiasinya dengan perabot antik, alat muzik dan perhiasan kecil yang menyatakan gaya unik dan kreativiti mereka. Apabila mereka menyedari betapa gembiranya mereka selepas membuka kediaman mereka kepada pemuzik yang bekerja dengan mereka, mereka memutuskan untuk meneruskan perasaan baik ini dengan menjadi hos Airbnb.

    Vicky percaya bahawa beliau mencapai status Superhost selama 20 suku tahun kerana semangat beliau dalam menunjukkan tetamu keindahan tempat yang kini dipanggil rumah. Jika berminat, sesetengah tetamu pernah mendapat pengalaman unik untuk meneroka studio rakaman dan berpeluang untuk bertemu artis yang bekerja di sana (sesetengah daripada mereka membuat persembahan antarabangsa dan agak terkenal). Tetapi lebih-lebih lagi, beliau seronok berkongsi hospitaliti dan berhubung secara peribadi dengan tetamunya. “Saya membuat sarapan yang lazat dan sihat dan berbual dengan mereka tentang kehidupan mereka dan memberi cadangan jika mereka mahu,” katanya. “Dan kadangkala persahabatan terjalin. Maksud saya, kami makan sarapan selama dua jam dan kemudian tetamu menyedari bahawa mereka sampai di sini untuk meneroka Cornwall!”

    Daisuke dan Hila dari Fujieda, Jepun
    Daisuke dan Hila mempunyai impian untuk memiliki rumah bersejarah di salah sebuah kampung luar bandar yang cantik berhampiran Fujieda, Jepun, di mana mereka boleh menjadi hos kepada pengembara dan memperkenalkan budaya rantau ini kepada mereka. Namun secara tradisi, kediaman akan diturunkan mengikut generasi, jadi mereka tahu ia sukar untuk mencari kediaman yang boleh dibeli. Akhirnya apabila mereka jumpa sebuah rumah tradisional yang berusia 96 tahun di mana sekarang mereka menjadi hos untuk tetamu dari seluruh dunia, ia berada dalam keadaan yang sangat teruk. Mereka bertungkus-lumus merombak dan mengubahnya menjadi sebuah pangkalan untuk meneroka daerah pedalaman dan memperkenalkan tetamu kepada aspek Jepun yang tidak akan dapat dialami tanpa pemandu tempatan.

    Sejak memulakan program Superhost, pasangan ini telah memperoleh status mereka sebagai kegemaran tetamu kerana hospitaliti peribadi dan unik mereka. “Seminggu sebelum tetamu sampai, kami berkomunikasi dengan mereka untuk mendapatkan gambaran tentang aktiviti yang mereka ingin lakukan,” kata Daisuke. “Dan kemudian kami menjemput mereka dari stesen kereta api terdekat dan menunjukkan beberapa benda dalam perjalanan ke rumah kami—sawah padi, ladang buluh, ladang teh hijau, kampung... ia satu peluang yang bagus untuk membuat hubungan pertama.”

    “Kemudian kami berhenti di kedai runcit dan membantu mereka membeli makanan kerana semuanya dalam bahasa Jepun,” tambah Hila. “Dan kebanyakan tetamu suka makan malam yang disediakan oleh kami.”

    Selain menjadi hos, ladang bambu Daisuke dan Hila digunakan oleh artisan tempatan untuk menghasilkan barangan tradisional seperti bakul anyam, tudung lampu dan beg. Tetamu boleh merasai pengalaman mencantas buluh atau menyertai bengkel menganyam buluh bersama Daisuke. Ia bukan sahaja peluang untuk berkongsi budaya yang mereka cintai, malah peluang yang bagus bagi penduduk kampung tempatan untuk berjumpa dengan orang baru dari seluruh dunia.

    “Tahu tak, dengan sesetengah orang anda betul-betul boleh tersentuh. Seorang tetamu memberi saya teh yang mereka bawa dari rumah dan berkata, ‘Ini Airbnb ke-32 kami, dan kami tidak pernah mengalami layanan yang begitu menakjubkan,’” kata Hila. “Dan saya terus menangis. Saya begitu gembira dan malu.”

    Younghee dari Gwangju-si, Korea Selatan
    Apabila artis visual Younghee dan suaminya Dongwook berpindah balik ke Korea Selatan selepas membesarkan anak-anak mereka di Amerika Syarikat dan Jepun, mereka memutuskan untuk membina sebuah rumah moden unik yang menzahirkan matlamat artistik mereka—Rumah Lemon, yang mempunyai galeri seni, pemandangan desa Gwangju-si, dan tingkap unik berbentuk lemon di suite tingkat atas. “Lemon ialah motif yang sering saya gunakan dalam seni saya,” kata Younghee. “Ia konsep yang ringan, dan cucu saya suka bermain di sini.”

    Younghee dan Dongwook mengakui bahawa pengalaman mereka menetap di luar negara memberi mereka keberanian untuk cuba menjadi hos Airbnb. Dan mereka telah mengalami kejayaan besar sebagai Superhost selama 20 suku tahun berturut-turut. “Saya dan suami saya ada kehidupan yang ringkas," kata Younghee. “Kami fikir ia satu idea yang menarik untuk bertemu orang dari pekerjaan berbeza bahkan daripada generasi berbeza. Saya fikir ini satu peluang yang bagus untuk saya berkongsi pengalaman hidup saya dan menggalakkan orang lain untuk mengejar impian mereka juga.”

    Rutin hos Younghee termasuk menghias rumah dengan bunga liar segar, menyediakan sarapan yang lazat setiap pagi dan membantu tetamu merasai budaya dan persekitaran tempatan dalam apa jua cara yang mereka suka. Beberapa tetamu menyebut dalam ulasan bahawa beliau dan suaminya membawa mereka membeli barangan runcit, membawa mereka ke muzium, malah membimbing mereka dalam mendaki. “Bagi saya, ia bukan sekadar menawarkan penginapan,” kata Younghee, “ia satu pertukaran budaya. Kami menganggap menjadi hos sebagai satu perkhidmatan kepada orang lain yang akan turut menyembuhkan kami secara emosi.”

    Nalin dari New Delhi, India
    Semasa proses mengembara di sekitar 45 negara kerana tugasnya sebagai pembangun perisian, Nalin bosan dengan hotel korporat dan mula menginap di penginapan Airbnb untuk mendapatkan pengalaman yang terasa lebih seperti rumah. Beliau bertemu begitu ramai orang yang menarik sepanjang perjalanan sehinggakan beliau memutuskan untuk membalas budi dengan menjadi hos kepada pengembara di tempat asalnya, New Delhi. “Apabila saya mula menjadi hos, saya menjadi semakin bersemangat dengannya,” katanya. “Dalam diri saya, saya seorang perantau. Dan melalui menjadi hos dan mengembara, kini saya mempunyai tali persahabatan di hampir setiap bandar utama di seluruh dunia.”

    Nalin telah mencapai status Superhost selama 20 suku tahun berturut-turut, satu pencapaian yang dia katakan disebabkan keinginannya untuk berhubung dengan tetamu dan mempamerkan hospitaliti yang terbaik kepada mereka. “Saya mahu tetamu berasa bahawa walaupun mereka menginap hanya untuk lima hari, ini adalah rumah mereka,” katanya. “Anda bukan orang luar yang menempah tempat ini—rumah anda di sini.”

    Menjadi hos Airbnb, Nalin telah berkembang daripada unit asalnya kepada lapan apartmen yang dia uruskan sendiri, menawarkan setiap tetamu kemudahan seperti bunga segar dan Amazon Echo, serta apa jua tahap bimbingan dan interaksi yang mereka suka. “Saya suka bertemu tetamu semasa penginapan mereka dan membantu mereka meneroka bandar berdasarkan perkara yang mereka suka,” katanya. “Saya beritahu mereka, ‘Jika anda berada di bandar dan memerlukan cadangan untuk tempat makan atau seseorang untuk makan bersama, hubungi saya.’ Bagi saya penting untuk membuat tetamu berasa seperti keluarga saya.”

    Maklumat yang terkandung dalam artikel ini mungkin telah berubah sejak diterbitkan.

    Airbnb
    20 Jun 2019
    Adakah ini membantu?