Memperkemaskan keterangan penyenaraian anda
Sorotan
Fokus kepada keunikan penginapan anda
Jelaskan ruang anda dengan tepat untuk menetapkan jangkaan yang betul
- Kemas kini butiran penyenaraian anda
Ketahui lebih lanjut dalam panduan lengkap kami untuk menyediakan penyenaraian yang berjaya
Keterangan penyenaraian yang mantap merupakan antara alat terbaik anda untuk mendapatkan tempahan dan menetapkan jangkaan tetamu. Kami telah mendapat tahu daripada Superhost bahawa penginapan anda tidak semestinya sempurna, tetapi penting untuk memberitahu tetamu apa yang mereka akan dapat apabila mereka tiba. Berikut ialah cara untuk membuat pengembara teruja untuk menginap di penginapan anda.
Tonjolkan ciri istimewa anda
Terdapat jutaan penyenaraian di Airbnb. Untuk menyampaikan sesuatu yang istimewa tentang penyenaraian anda, luangkan masa beberapa minit untuk memikirkan ciri-ciri yang menarik dan unik yang membezakannya. Ini bermakna menonjolkan lokasi atau kemudahan unik ruang anda. “Kami dalam jarak berjalan kaki 5 hingga 10 minit dari restoran dan kilang bir terbaik Bend,” kata Mike dan Jill, Superhost dari Bend, Oregon. “Denai basikal gunung terkenal [kami] hanya 15 minit menunggang basikal atau 5 minit memandu jauhnya.”
Tulis tajuk yang menarik perhatian
Tajuk penyenaraian anda dan gambar pertama anda adalah perkara yang meyakinkan tetamu untuk mengklik penyenaraian anda, jadi sangat penting untuk memanfaatkannya dengan menonjolkan keistimewaan ruang anda. Tajuk yang lebih panjang yang menonjolkan kemudahan ruang anda dan menggunakan huruf besar untuk huruf pertama setiap perkataan sangat berkesan. Contohnya, daripada menulis, “apartmen bandar satu bilik tidur,” cuba, "Apartmen Satu Bilik Tidur Menawan Berhampiran Pusat Bandar." Antara contoh hebat yang lain:
- “Kotej Tepi Laut: Sauna, Kayak, dan Teater Rumah”
- “Apartmen Old Town Square dengan Pendiangan dan Pejabat Rumah”
- “Kabin Mesra Kanak-kanak Berhampiran Laluan Pendakian dan Tasik”
Ceritakan kisah ruang anda
Penyenaraian anda ialah tempat anda memasarkan penginapan anda, dan penceritaan adalah aspek utama pemasaran yang berkesan. Biasanya, kisah yang anda ceritakan adalah tentang pengalaman yang anda tawarkan kepada tetamu. Jadi bantu mereka membayangkan diri mereka sebagai wira dalam kisah pengembaraan mereka sendiri. Ada apartmen tingkat atas dengan pokok di luar? “Anda akan rasa seperti anda berada di dalam rumah pokok!” Bilik di pusat bandar yang sederhana pun boleh menjadi “pangkalan yang sesuai untuk meneroka.” Untuk mendapatkan lebih banyak inspirasi, dengar nasihat Superhost Tereasa dan David untuk menceritakan kisah anda dengan berkesan.
Berfikir seperti pengembara
Anda tidak perlu menjadi penulis yang hebat untuk membuat keterangan yang menarik, anda hanya perlu menggunakan bahasa yang ringkas dan meyakinkan. Mulakan dengan berfikir seperti pengembara: kongsi maklumat yang mesti diketahui pada awal keterangan anda sambil menekankan maklumat yang menarik.
Sebagai contoh, Ryan, hos dari Santa Marta, Colombia, berkata dia sentiasa memberikan konteks kepada tetamunya terlebih dahulu. “Memandangkan ia lokasi yang agak jauh, ada banyak maklumat yang kami ingin kongsi dengan pelanggan kami,” katanya. “Tempat kami ada bekalan utiliti, tetapi kami berada di kawasan yang sangat luar bandar. Apabila elektrik terputus, keadaan ini mungkin berlarutan hingga beberapa hari.” Asalkan tetamunya tahu perkara ini sebelum membuat tempahan, mereka faham bahawa mereka tidak akan mendapat pengalaman perjalanan biasa dan mereka boleh merancang sewajarnya.
Jika anda tidak tahu cara untuk bermula, bincang dengan seorang rakan dan terangkan bagaimana rasanya menginap di kediaman anda. Selalunya butiran terbaik akan muncul dengan segera, melalui cara perbualan menarik yang menghasilkan keterangan penyenaraian yang mantap.
Bersikap prihatin dan teliti
“Akses terus ke pantai dan pemandangan laut yang menakjubkan dari setiap bilik” inilah cara hos Matthew memulakan keterangan penyenaraiannya di Nicaragua.
Penyenaraian Olga di Mammoth Lakes, California, menekankan tempat letak kereta yang mudah kerana beliau tahu daripada pengalaman bahawa pemain ski suka jika dapat membawa peralatan ski ke kawasan kediaman dengan mudah. Beliau juga memastikan rumahnya mempunyai pendiangan pembakaran kayu kerana beliau tahu pemain ski suka berehat di hadapan api selepas seharian di lereng bukit.
Pastikan ia ringkas
Bersikap tulen dan jujur
Walaupun anda patut tunjukkan betapa istimewanya penginapan anda, jangan lakukannya secara berlebihan atau membesar-besarkannya. Jelaskan manfaat unik dan sebarang keanehan untuk membantu bakal tetamu terus memutuskan sama ada penginapan anda sesuai untuk mereka.
Penting untuk menambah ciri kemudahan akses dan menonjolkan sebarang aspek penginapan anda yang boleh menyukarkan tetamu tertentu. Bahagian “Peringatan Lain” dan “Ruang” memberi peluang untuk menyatakan maklumat sebegini.
Kongsi keperibadian anda
Sama ada anda menyenaraikan bilik persendirian di rumah anda atau anda hos beberapa penginapan, tetamu mungkin ingin mengetahui lebih lanjut tentang anda. Jangan takut untuk menyerlahkan keperibadian anda.
Manfaatkan kapsyen gambar sepenuhnya
Jika anda menunjukkan katil, beritahu tetamu saiznya, dan nyatakan jenis tilam, jika berkenaan. Ada gambar sudut bertingkap yang selesa? Anda boleh nyatakan bahawa ini adalah tempat yang sesuai untuk menyendiri dengan sebuah buku ketika matahari terbenam.
Baca penyenaraian lain untuk mendapatkan inspirasi
Baca keterangan penyenaraian yang menarik untuk mendapatkan inspirasi—dan lihat ulasan hos lain untuk memahami jenis detik dan perincian yang tetamu sukai. Tidak kira jenis penginapan yang anda ada, mengenal pasti peluang untuk menceriakan tetamu akan membantu menghidupkan penyenaraian anda.
Sorotan
Fokus kepada keunikan penginapan anda
Jelaskan ruang anda dengan tepat untuk menetapkan jangkaan yang betul
- Kemas kini butiran penyenaraian anda
Ketahui lebih lanjut dalam panduan lengkap kami untuk menyediakan penyenaraian yang berjaya