Kemudi ke hadapan untuk mengakses hasil yang dicadangkan

    Menetapkan strategi penentuan harga

    Dapatkan lebih banyak tempahan dan bantu tingkatkan pendapatan anda dengan harga yang sesuai.
    Oleh Airbnb pada 1 Dis 2020
    Bacaan 3 minit
    Dikemas kini pada 13 Mei 2021

    Sorotan

    • Tetapkan harga yang lebih rendah untuk penyenaraian baharu untuk membantu mendapat lebih banyak tempahan

    • Tingkatkan pendapatan anda dengan melaraskan harga bermusim, pada hujung minggu, dan untuk acara khas atau musim cuti

    • Kemas kini harga anda
    • Ketahui lebih lanjut dalam panduan lengkap kami untuk menyediakan penyenaraian yang berjaya

    Walau apa pun matlamat kewangan anda, strategi penentuan harga yang pintar adalah kunci kejayaan. Tetapi mencapai sasaran pendapatan anda boleh jadi agak mencabar, dengan pembolehubahnya bertukar dari hari ke hari dan minggu ke minggu. Berikut adalah beberapa pandangan berguna, berserta beberapa alat dan tip untuk memudahkan proses ini.

    Berfikir seperti tetamu

    Harga ialah salah satu faktor utama yang tetamu pertimbangkan apabila memilih tempat penginapan. Walau secantik mana pun ruang anda, jika harganya lebih tinggi berbanding penyenaraian di kawasan ini, kemungkinan besar anda akan terlepas mendapat tempahan. Perlu diingat bahawa harga yang anda tetapkan bukanlah harga akhir yang tetamu akan bayar. Pastikan anda mengambil kira yuran perkhidmatan tetamu, sebarang yuran tambahan yang anda rancang untuk kenakan (seperti yuran pembersihan atau yuran tetamu tambahan), dan cukai di kawasan anda untuk menentukan harga yang sesuai untuk anda dan tetamu anda.

    Lakukan sedikit penyelidikan pasaran

    Mulakan dengan mencari ruang serupa di kawasan anda di Airbnb, dengan mengambil kira:

    • Jenis penginapan anda (bilik peribadi, seluruh kediaman, dll.)
    • Bilangan katil/bilik tidur yang anda sediakan
    • Bilangan tetamu yang anda boleh tempatkan
    • Kemudahan yang tersedia

    Pastikan anda menyemak beberapa tarikh pada masa akan datang. Penyenaraian dengan harga yang kompetitif cenderung mendapat tempahan lebih awal. Oleh itu, jangan buat kesilapan dengan membuat penanda aras terhadap penginapan yang masih tersedia dalam lingkungan seminggu dua sahaja. Kemungkinan besar penyenaraian-penyenaraian ini tidak ditempah kerana harganya terlalu tinggi. Melihat lebih ke hadapan juga akan membantu anda mengetahui bagaimana hos berhampiran dengan anda melaraskan harga bermusim, pada hujung minggu, dan untuk acara khas atau musim cuti.

    Pertimbangkan lokasi dan kemudahan anda

    Ingat bahawa perkara yang anda faktorkan ke dalam harga anda mungkin tidak jelas kepada tetamu. Contohnya, keselamatan dan keindahan kejiranan anda mungkin tidak bermakna apa-apa kepada seseorang yang tidak mengenali bandar anda, jadi pastikan untuk menjelaskannya dalam penyenaraian anda. Aspek hospitaliti anda yang hebat seperti sarapan pagi atau bakul alu-aluan yang penuh dengan makanan mungkin melayakkan anda meletakkan harga yang lebih tinggi, tetapi anda perlu menyatakannya dengan jelas dalam penyenaraian dan gambar anda.

    Tonjolkan diri dengan harga yang hebat

    “Apabila anda baru bermula, ada baiknya untuk meletakkan harga yang kompetitif,” kata Ros, hos dari Durban, Afrika Selatan. Tetamu ragu-ragu untuk menempah penyenaraian tanpa ulasan, jadi untuk hos baharu, cara terbaik untuk menarik tetamu ialah dengan menetapkan harga anda lebih rendah berbanding harga ideal anda. Setelah anda mempunyai beberapa ulasan positif, anda boleh menaikkan harga anda supaya sejajar dengan permintaan di kawasan anda. Harga yang kompetitif juga boleh membantu kedudukan penyenaraian anda lebih tinggi dalam carian.

    Gunakan alat Penentuan Harga Pintar

    Ingin mendapat lebih kepastian? Hidupkan Penentuan Harga Pintar. Alat penentuan harga Airbnb mengambil kira lebih daripada 70 faktor yang berbeza—serta kawalan yang anda tetapkan—untuk menentukan harga terbaik untuk setiap malam yang tersedia pada kalendar anda. Harga anda akan dikemas kini secara automatik bergantung pada perkara seperti:

    • Masa pendahuluan: Apabila tarikh daftar masuk hampir tiba
    • Populariti tempatan: Bilangan orang yang membuat carian untuk inap desa di kawasan anda
    • Musim: Perubahan musim yang boleh diramalkan dalam permintaan untuk inap desa di kawasan anda
    • Populariti penyenaraian: Berapa banyak tinjauan dan tempahan yang diterima oleh penyenaraian anda
    • Sejarah ulasan: Jumlah ulasan positif anda daripada penginapan yang berjaya

    Untuk memastikan harga penyenaraian anda sentiasa memenuhi keperluan anda, pastikan anda menetapkan harga minimum semalam dalam alat Penentuan Harga Pintar. Harga anda tidak akan turun di bawah harga ini. Dan jika pada bila-bila masa anda tidak berpuas hati dengan kadar yang ditetapkan oleh alat ini, anda boleh menaip harga baharu ke dalam kalendar anda.

    Kenal pasti apa yang sesuai untuk anda

    Mungkin mengambil sedikit masa dan sedikit cuba-cuba untuk mendapat harga yang sesuai. Bersikap fleksibel, dan terus tumpukan perhatian kepada kepuasan tetamu. Lagipun, ulasan yang lebih positif boleh membantu meningkatkan perniagaan hos anda.

    Maklumat yang terkandung dalam artikel ini mungkin telah berubah sejak penerbitan.

    Sorotan

    • Tetapkan harga yang lebih rendah untuk penyenaraian baharu untuk membantu mendapat lebih banyak tempahan

    • Tingkatkan pendapatan anda dengan melaraskan harga bermusim, pada hujung minggu, dan untuk acara khas atau musim cuti

    • Kemas kini harga anda
    • Ketahui lebih lanjut dalam panduan lengkap kami untuk menyediakan penyenaraian yang berjaya
    Airbnb
    1 Dis 2020
    Adakah ini membantu?