Kemudi ke hadapan untuk mengakses hasil yang dicadangkan

    Bagaimana kediaman yang dibina dengan tangan sendiri membantu dua orang Superhost untuk separa bersara

    Daripada bata pertama kepada tetamu pertama, satu pasangan berkongsi perjalanan hos mereka.
    Oleh Airbnb pada 17 Jan 2019
    Bacaan 4 minit
    Dikemas kini pada 28 Apr 2021

    Bagi Superhost Mary dan Buster Reynolds, hospitaliti dan membina rumah telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka selama 40 tahun. “Ini gaya hidup,” kata Buster. Dia dan isterinya Mary telah membina rumah mereka dengan tangan sendiri sejak 1980, dan berkongsinya dengan tetamu. “Dengan semua pengunjung baru ini, kami dapat melihat rumah sekali lagi dengan sudut pandangan baru. Kami benar-benar bangga dengan kesudahannya.” Penginapan ini—terletak di bekas tempat perlindungan burung, 30 minit menaiki bas dari Johannesburg, Afrika Selatan—ada rumah utama dengan tiga bilik tetamu, serta dua kotej tetamu. Dan pasangan ini akhirnya menyelesaikannya “malam tadi!” Mary ketawa, “Saya baru sahaja selesai menjubinkan bilik mandi baru.”

    Mary dan Buster meluangkan sedikit masa daripada memasang jubin untuk memberitahu kami pengalaman mereka mula menjadi hos, betapa ia membantu membiayai hidup selepas bersara, dan mengapa kemungkinan ada rumah lain seperti rumah mereka 3,000 batu jauhnya di Nigeria.

    Membina rumah dengan tangan kelihatan seperti usaha yang besar. Pernahkah anda berdua bekerja dalam pembinaan sebelum ini?
    Mary: “Sebenarnya, tidak. Buster bersara daripada sinematografer, dan saya bekerja sepanjang hayat dalam bidang pendidikan. Dulu kami ada tuan tanah yang membina kotej, dan ia dibina begitu buruk sehingga kami terfikir, jika dia boleh membinanya... kami boleh membinanya dengan lebih baik. Jadi Buster menghadiri kursus mengikat bata, dan saya membeli buku kerja paip.”

    Itu latihan anda?
    Buster: (ketawa) “Kami tiada wang untuk membeli rumah pada masa itu. Itu satu-satunya cara kami boleh dapatkan rumah yang kami mahu di tanah yang kami mahu. Jadi kami bermula dengan 3,000 rand (USD218) dan membuat penyelarasan sedikit. Setiap hujung minggu, setiap minit, setiap sen yang dapat diluangkan telah digunakan untuk rumah ini.”

    Mary: "Buster mengusahakan struktur bangunan, dan saya bekerja bahagian dalam. Alang ini dibuat daripada pokok gam tempatan, dan banyak kayu lain berasal dari setor buangan Crown Mines, antara lombong emas pertama di Johannesburg. Satu-satunya perkara yang kami biar orang lain buat ialah elektrik dan bumbung atap kerana ia memerlukan kepakaran sangat khusus. Mengayam atap adalah seni tradisional, jadi kami mengupah pakar tempatan untuk mengayam atap dengan rumput yang dipotong sendiri oleh isteri mereka. Ini seperti Michelangelo dan Sistine Chapel, menghabiskan hampir seumur hidup naik dan turun tangga. Seperti tinggal di dalam karya seni.”

    Adakah berbual mengenai rumah cara yang baik untuk menjalin hubungan yang mesra dengan tetamu?
    Buster: “Ya, sudah tentu. Rumah ini mempunyai pelan terbuka, di mana pada tahun 1980 istilah ini belum ada di dalam kamus. Zaman kini telah berubah! Tetamu datang melalui pintu dapur dan terus terhubung dengan [rumah dan] makanan yang kami hidangkan kepada mereka sebagai sarapan pagi: jem hasil tanaman dan buatan sendiri, jeruk, dan chutni serta granola dan mufin buatan sendiri. Sentiasa ada pelbagai jenis roti, banyak kopi dan teh Rooibos, yang merupakan kelaziman di Afrika Selatan. Kami menghabiskan sekurang-kurangnya sejam di meja sarapan bersembang.”

    Mary: “Kami menerima kumpulan dari Nigeria yang menjangkakan hotel 5 bintang. Apabila mereka berjalan masuk wajah mereka kecewa, tetapi tidak lama kemudian mereka dapat menyesuaikan diri ke dalam pengalaman. Ketika mereka pulang, seseorang meminta satu salinan pelan rumah kami kerana dia mahu membina rumah seperti rumah kami. Jadi di suatu tempat di Nigeria mungkin terdapat klon rumah kami.”

    Bunyinya seperti pujian melangit! Bagaimana anda mula menjadi hos?
    Mary: “Melalui AFS (American Field Service), sebuah program pertukaran antarabangsa. Pada tahun 1984, kami melakukan perjalanan menakjubkan ke Amerika dan semasa kami kembali, AFS sedang mencari keluarga hos. Sejak itu, kami telah menjadi hos kepada tujuh orang pelajar, setiap pelajar selama setahun dan dari seluruh dunia. Menjadi hos ialah cara hidup kami. Kami juga menambah dua buah kotej, pada asalnya untuk ibu bapa kami, dan kemudian sebagai sewaan. Pada tahun 2017, anak perempuan kami Katy menggalakkan kami menyertai Airbnb, dan kami mula mendapat tempahan hampir serta-merta.”

    Apa yang paling menyeronokkan tentang pengehosan?
    Mary: “Orang. Kami memang suka menumpangkan orang di sini, belajar tentang pelbagai budaya, dan mengetahui sebab orang datang ke Afrika Selatan. Kami menyambut sekumpulan orang Afrika Amerika yang menarik dari Chicago yang ingin meneroka asal-usul mereka. Kami mencadangkan mereka tempat yang kami rasa mereka akan menikmati pengalaman Afrika yang tulen. Dan mereka benar-benar terharu dan merasakan ikatan yang akrab dengan budaya di sini.”

    Buster: “Ada juga orang Argentina yang begitu terpesona dengan sistem kompos kami sehingga beliau ingin pulang dan memulakan perniagaan kompos. Cerita seperti inilah yang membuat kami terus bersemangat. ”

    Mary: “Lagipun, Buster terpaksa bersara awal dan memandangkan saya separuh bersara, pendapatan tambahan ini telah membuat perbezaan yang besar. Ia membolehkan kami terus tinggal di rumah kami. Kami juga mengambil dua orang pekerja domestik dan seorang tukang kebun. Jika kami tiada pendapatan Airbnb, mereka juga akan kehilangan pekerjaan. Niat kami bukan untuk membuat untung besar-besaran—bukan—tetapi hanya untuk mengekalkan rumah kami dan dapat mengekalkan pekerjaan Nelly, Elizabeth, dan Mishek.”

    Ada sebarang nasihat untuk hos?
    Mary: “Anda perlu menikmati pekerjaan anda. Jika tidak ia tidak berbaloi. Kami menikmatinya. Dan apabila orang lain menghargai sesuatu, kita tahu kita melakukannya dengan betul.”

    Maklumat yang terkandung dalam artikel ini mungkin telah berubah sejak penerbitan.

    Airbnb
    17 Jan 2019
    Adakah ini membantu?