Kemudi ke hadapan untuk mengakses hasil yang dicadangkan
    Kandungan ini tidak tersedia dalam bahasa pilihan anda, jadi kami telah menyediakannya dalam bahasa terdekat yang tersedia buat masa ini.

    Hos yang sukakan cabaran menyatukan usahawan di hostel

    Tribe Theory menawarkan peluang kepada para profesional untuk berhubung sambil mengembara.
    Oleh Airbnb pada 2 Apr 2019
    Bacaan 3 minit
    Dikemas kini pada 28 Okt 2020

    Sorotan

    • Tribe Theory menawarkan usahawan peluang untuk berhubung sambil mengembara

    • Syarikat ini menarik tetamu dengan menyerlahkan keunikan penginapan mereka di Airbnb

    • Lokasi di Singapura mempunyai loteng tingkat tiga yang menyediakan ruang kerja yang luas

    Vikram Bharati diragui ketika mula mencadangkan rancangannya: hab rangkaian bagi usahawan milenial di dalam asrama di tengah-tengah Singapura. Beliau membayangkan lokasi popular tempat pengembara digital dan perniagaan boleh berbincang idea untuk syarikat baharu.

    “Misi kami ialah untuk menghubungkan, memberi inspirasi, memperkasakan usahawan dunia,” kata bekas naib presiden JP Morgan berusia 38 tahun ini mengenai Tribe Theory Venture Hostel. “Kami bukan sekadar menyediakan ruang sosial dengan harga yang berpatutan untuk orang ramai berkumpul.”

    Bagaimanapun, terdapat sedikit masalah. Agensi perjalanan dalam talian biasa, atau OTA, yang menjadi punca sebahagian besar tempahannya, lebih cenderung menghantar pelancong bajet biasa—pengembara berusia 19 tahun yang mengambil cuti belajar untuk mengembara—bukan pekerja ilmu keusahawanan yang beliau ingini. Sebaliknya tetamu yang datang melalui Airbnb sangat sesuai, cuma bilangan mereka kecil.

    “Pengembara yang datang melalui Airbnb memang 100% khalayak sasaran kami,” kata Vikram. Mereka selesa bekerja dari jauh, tahu cara menggunakan teknologi, serta banyak mengembara dan sukakan kembara. Mereka faham bahawa Tribe Theory, yang telah berkembang ke lokasi lain di Asia, memperjuangkan inovasi. “Setiap tetamu Airbnb yang datang, awal-awal lagi tahu bahawa ini ruang untuk berinovasi,” katanya.

    Vikram dengan pantas dapat mengenal pasti faktor besar yang mendorong pelbagai jenis tetamu. Laman penyenaraian terperinci di Airbnb membolehkan beliau menerangkan keunikan Tribe Theory kepada bakal tetamu. Itu penting, kerana penginapan Tribe Theory bukan asrama biasa.

    Lokasi di Singapura mempunyai tiga bilik gaya asrama, masing-masing dengan 10 “pod” yang dilengkapi dengan tilam, langsir untuk privasi, dan pencahayaan sendiri. Loteng tingkat tiga menyediakan ruang kerja yang luas dan patio belakang yang besar menganjurkan acara rangkaian dan parti pelancaran. Sebuah firma modal usaha niaga yang melabur dalam Tribe Theory akan mendengar idea daripada tetamu. Wawasan Vikram ialah untuk menawarkan perkhidmatan ini dan perkhidmatan lain untuk syarikat baru bermula di setiap asrama Tribe Theory.

    Laman penyenaraian mereka menerangkan dengan terperinci bagaimana “DNA semangat keusahawanan” telah meresap “ke dalam setiap bata dan jubin” asrama ini. Agensi perjalanan dalam talian biasa tidak membenarkan beliau melakukannya, jadi, tetamu yang mendaftar melalui mereka biasanya menjangkakan pengalaman asrama yang lebih tradisional.

    Oleh itu Vikram mula mengalihkan lebih banyak penyenaraiannya ke Airbnb. Beliau berusaha menyambungkan perisian pengurusan penginapan yang digunakannya untuk tapak web lain ke Airbnb. Perisian baharu ini, bersama ciri-ciri baharu yang dibina Airbnb khusus untuk menyokong hotel, membolehkan beliau menguruskan semua katil dari satu lokasi.

    “Pengembara yang datang melalui Airbnb memang 100% khalayak sasaran kami.”
    Vikram

    Tribe Theory tidak lagi memerlukan 10 penyenaraian berasingan di Airbnb untuk setiap 10 buah katil di salah satu biliknya, dan kakitangannya tidak lagi perlu memastikan harga dan ketersediaan inventori di Airbnb tekal dengan yang disiarkan di tempat lain. “Ia disegerakkan sepenuhnya,” kata Vikram. “Produktiviti ahli pasukan kami telah meningkat kerana kami tidak perlu meluangkan banyak masa memperuntukkan katil secara manual.”

    Pada tahun lepas, Vikram telah menambah lebih daripada tiga kali ganda inventorinya di Airbnb. Beliau kini melakukan perkara yang sama di asrama lain yang dilancarkannya baru-baru ini, termasuk di Bali dan Bangalore. Menjelang hujung tahun, beliau menjangkakan Tribe Theory akan beroperasi di 10 negara—dengan dua atau lebih asrama dalam masa beberapa tahun.

    “Saya berharap dapat mempromosikan dan menjual lebih banyak inventori di Airbnb kerana tetamu yang datang memang jenis yang sesuai bagi kami,” kata Vikram. “Mereka lebih pintar teknologi, dan mereka mencari sesuatu yang berbeza berbanding yang tersedia di OTA lain."

    Ingin menjadi hos profesional di Airbnb?
    Ketahui lebih lanjut

    Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini mungkin telah berubah sejak penerbitan.

    Sorotan

    • Tribe Theory menawarkan usahawan peluang untuk berhubung sambil mengembara

    • Syarikat ini menarik tetamu dengan menyerlahkan keunikan penginapan mereka di Airbnb

    • Lokasi di Singapura mempunyai loteng tingkat tiga yang menyediakan ruang kerja yang luas

    Airbnb
    2 Apr 2019
    Adakah ini membantu?