Kemudi ke hadapan untuk mengakses hasil yang dicadangkan

    Tambahkan ciri-ciri yang akan disukai tetamu

    Seorang bekas pengarah kreatif berkongsi tip hiasan dalaman terbaiknya.
    Oleh Airbnb pada 13 Apr 2021
    Bacaan 6 minit
    Dikemas kini pada 13 Apr 2021

    Sorotan

    • Mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk tetamu anda bermula dengan mereka bentuk ruang anda dengan teliti

    • Tip pakar termasuk mencipta suasana untuk ruang anda, mencipta sudut yang selesa dan memperibadikan reka bentuk anda

    • Hadiah tempatan kecil dan kemudahan boleh membantu meningkatkan pengalaman penginapan tetamu

    • Ketahui lebih lanjut dalam panduan lengkap kami untuk meningkatkan pengehosan anda ke tahap seterusnya

    Apabila tetamu memasuki The Beach Lodge di Hollywood Beach, California, mereka serta-merta mendapat gambaran tentang siapa Tiffany Caliva-Talledo sebenarnya. Keprihatinannya dan cintanya kepada reka bentuk dapat dirasai menerusi pilihan hiasannya termasuk warna, tekstur dan setiap sentuhan peribadi. Sebagai seorang bekas pengarah kreatif, dia sentiasa teliti terhadap setiap perincian. Di sini, dia berkongsi rahsia kepada kejayaannya di Airbnb.

    Superhost Tiffany berkongsi tip reka bentuk dan hospitaliti kegemarannya.

    Lahirnya The Beach Lodge

    “Sebelum kami memperbaiki The Beach Lodge, ia merupakan sebuah rumah berwarna hijau yang hodoh. Ia digelar 'Sarang Dadah' dan orang ramai selalu lari apabila melintasnya! Jiran-jiran fikir kami gila kerana membelinya, tetapi saya nampak sesuatu yang istimewa di dalamnya. Saya terfikir bahawa jika kami boleh membaikpulihnya, orang ramai akan datang. Saya telah mencurahkan begitu banyak kasih sayang dan saya rasa kerana itulah tetamu sering kembali. ”

    7 tip untuk memberi layanan yang lebih baik oleh Tiffany

    Cipta suasana
    “Mencipta pengalaman yang sukar dilupakan sentiasa bermula dengan mencipta suasana yang sesuai. Apabila mereka bentuk ruang, saya menasihatkan pelanggan saya untuk bermula dengan sesuatu perasaan berbanding sebuah tema. Apa yang anda mahu tetamu anda rasa apabila mereka melangkah masuk ke rumah anda—selesa, gembira, tenang? Bagi The Beach Lodge, saya tidak memilih tema tepian pantai yang menjadi kelaziman. Sebaliknya, saya berfikir secara menyeluruh tentang warna, tekstur, dan perincian: corak yang menyerlah berlatarbelakangkan warna neutral yang nyaman, tekstur yang menggambarkan pasir, dan banyak tumbuhan untuk membangkitkan suasana dunia luar.”

    Reka bentuk berkos rendah
    “Menghias tidak semestinya mahal! Pasar lambak dan kedai barang terpakai dipenuhi dengan khazanah murah dan barangan unik dengan aura seperti ada kisah disebaliknya. Anda hanya perlu berusaha mencarinya. Saya khususnya lebih tertarik kepada objek yang mewakili warisan budaya Filipina dan Asia saya. Barang yang anda pilih untuk ruang anda harus menceritakan sesuatu, dan secara keseluruhannya ia akan membantu menyampaikan kisah yang lebih besar tentang kediaman anda. ”

    Cuba pelbagai gaya
    “Satu lagi nasihat yang saya kongsi dengan pelanggan saya adalah untuk memberi peluang kepada diri anda untuk bereksperimen. Tukar hiasannya. Cuba perkara baru. Buat perubahan pada setiap musim. Ini cara terbaik untuk mengetahui apa yang sesuai dengan hasil yang anda cuba capai dan apa yang tidak. Anggap ruang anda seperti orang yang mempunyai watak dan personalitinya tersendiri. Seperti diri anda, ia sepatutnya berubah dan berevolusi kepada versi terbaik pada masa tersebut.”

    Cipta ruang istirahat mini
    “Saya suka bermain dengan ruang dan visual dengan cara yang tidak dijangka. Satu tip yang saya cadangkan ialah mencipta ruang istirahat mini di sekitar kediaman anda—ruang kecil untuk tetamu bersendirian dan tenggelam dalam khayalan dengan sebuah buku. Saya mungkin meletakkan selimut, bantal dan lukisan di satu sudut yang menggamit tetamu untuk berehat di situ. Fikirkan bagaimana anda boleh mencipta sudut-sudut kecil ini di seluruh penginapan. ”

    Anggap ruang anda seperti orang yang mempunyai watak dan keperibadiannya tersendiri.
    Tiffany,
    Hollywood Beach, California

    Jadikannya bersifat peribadi
    “Seboleh mungkin, bantu peribadikan penginapan tetamu anda dengan menambahkan sentuhan istimewa. Contohnya, jika seseorang menyebut bahawa mereka akan meraikan hari jadi, saya akan meninggalkan kek cawan daripada kedai roti tempatan kegemaran saya. Jika mereka tidak makan daging, saya akan mencipta senarai restoran tempatan. Jika mereka merupakan keluarga dengan kanak-kanak, saya akan menukar bantal dan linen kepada jenis yang lebih tahan lama. Sentuhan yang prihatin ini benar-benar memberi kesan kepada tetamu. Ia akan terserlah dalam ulasan anda dan tempahan berulang.”

    Beri mereka hadiah untuk dibawa pulang
    “Saya syorkan anda memberikan hadiah atau cenderahati kecil kepada tetamu sebagai buah tangan ringkas tanda alu-aluan yang istimewa, seperti kad hadiah kepada perniagaan berhampiran atau poskad daripada artis tempatan."

    "Untuk mengembangkan lagi idea ini, tetamu boleh membeli barangan terus daripada The Beach Lodge, termasuk jubah dan linen yang tidak menjejaskan alam sekitar serta barangan vintaj, atau daripada kedai dalam talian yang saya cipta. Saya juga mengetengahkan jenama milik wanita dan jenama tempatan, yang penting kepada saya. Saya tidak mengambil sebarang keuntungan. Segalanya bertujuan untuk menghubungkan orang ramai kepada jenama-jenama ini. Bagi saya, ia lebih daripada sekadar percutian.”

    Berfikir seperti perancang sebuah pelayaran
    “Kami menamakan kediaman kami The Beach Lodge kerana, bagi kami, penginapan ialah ruang yang selesa untuk orang ramai berkumpul. Saya menyediakan permainan papan, tikar yoga, kraf, bahan-bahan seni, pemanggang barbeku, tuala pantai, basikal, buku untuk dibaca, dan pemain rekod di penginapan ini. Pengembaraan bertujuan untuk meluaskan pandangan anda dan aktiviti-aktiviti ini boleh membantu pengunjung mencipta kenangan dan gaya hidup yang baru. Pertimbangkan jenis kemudahan yang boleh membantu meningkatkan pengalaman keseluruhan mereka. ”

    Ingat, segalanya bergantung kepada ketelitian kepada perincian! Menerusi sentuhan keprihatinan ini, tetamu akan benar-benar merasakan kesungguhan anda dalam menyediakan ruang anda—dan mereka akan kembali ke sini berulang kali.

    Sorotan

    • Mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk tetamu anda bermula dengan mereka bentuk ruang anda dengan teliti

    • Tip pakar termasuk mencipta suasana untuk ruang anda, mencipta sudut yang selesa dan memperibadikan reka bentuk anda

    • Hadiah tempatan kecil dan kemudahan boleh membantu meningkatkan pengalaman penginapan tetamu

    • Ketahui lebih lanjut dalam panduan lengkap kami untuk meningkatkan pengehosan anda ke tahap seterusnya
    Airbnb
    13 Apr 2021
    Adakah ini membantu?