Kemudi ke hadapan untuk mengakses hasil yang dicadangkan

    Rumah kecil pasangan nomad membolehkan tetamu kembali dekat dengan alam semula jadi

    Dua pengembara beg galas yang menjadi Superhost ini membantu tetamu merasai kemewahan dalam kesederhanaan.
    Oleh Airbnb pada 18 Feb 2021
    Bacaan 4 minit
    Dikemas kini pada 28 Apr 2021

    Sorotan

    • Semasa mengelilingi dunia, pasangan ini menemui kebahagiaan dalam sebuah karavan

    • Mereka mula menjadi hos rumah kecil untuk menunjukkan kepada tetamu kehebatan hidup secara sederhana

    • Setelah menjadi Superhost, mereka mengatakan bahawa mereka lebih gemar menjadi hos berbanding mengembara

    Dua pengembara beg galas, Erle dan Jeremy, tidak sangka akan bertemu satu sama lain untuk kali kedua. Mereka bertemu di Thailand pada tahun 2012, tetapi terputus hubungan dan tidak berkomunikasi selama bertahun-tahun. Kemudian, kebetulan mereka bertemu semula di Sydney pada tahun 2016, dan jatuh cinta. Dalam masa beberapa minggu, mereka dengan gembira mengembara di pedalaman Australia bersama-sama dalam sebuah karavan yang diubah suai sendiri.

    Semasa mengembara, mereka mula merancang untuk kembali ke Norway, di mana Erle membesar. Mereka berdua belajar bidang perniagaan tetapi merasakan jiwa mereka tidak serasi dengan dunia "korporat" dan tersekat dalam waktu pejabat. Dengan pengalaman menginap di penyenaraian Airbnb sebagai tetamu, mereka yakin bahawa mereka dapat menjadi hos yang baik—dan Norway akan menawarkan latar belakang yang menakjubkan.

    Didorong oleh minat untuk mengembara, minimalisme, dan perjuangan untuk alam sekitar, mereka berpendapat bahawa menjadi hos rumah kecil akan membolehkan mereka berkongsi pengajaran mendalam yang mereka peroleh melalui aktiviti backpacking bertahun-tahun: “Anda tidak memerlukan banyak perkara untuk gembira.”

    Apa yang mereka tidak sangka? Menjadi hos akan menjadi satu perkara yang lebih mereka sukai daripada mengembara.

    Menjadikan impian sebuah kenyataan

    Erle dan Jeremy, yang membesar di Belgium, menemui tempat impian mereka beberapa hari selepas berpindah ke Norway. Kabin kecil yang terletak 20 minit di luar Oslo itu sangat terbiar sehinggakan tiada sesiapa yang berminat untuk membelinya. Tetapi harganya bersesuaian, dan dengan pemandangan persendiriannya merentasi delta sungai yang kaya dengan hidupan liar, mereka nampak potensinya. Dan mereka fikir tetamu juga akan nampak tarikannya.

    Idea mereka adalah untuk membina sesuatu yang benar-benar unik di kawasan ini. "Sebagai pengembara sendiri, kami ingin mencipta tempat yang memberi inspirasi, unik dan tidak dapat dilupakan," kata Erle. “Airbnb membolehkan sesiapa sahaja yang kreatif—dan yang ingin mencipta pengalaman unik untuk orang lain—menjadi hos. Ia benar-benar genius!"

    "Sebagai pengembara, kami ingin mencipta tempat yang memberi inspirasi, unik dan tidak dapat dilupakan."
    Erle, Airbnb Superhost,
    Norway

    Mereka berpindah ke kabin ini, dan menghabiskan setahun merancang dan mendapatkan permit yang diperlukan untuk merobohkannya dan membina rumah kecil di tapaknya. Mereka tidak mempunyai pengalaman membina rumah, tetapi mereka tidak berputus asa.

    Membina mengikut belanjawan

    Sebagai pengembara beg galas, Erle dan Jeremy tahu cara berhemat; untuk menjimatkan wang, mereka bekerja separuh masa sebagai kru bot di sungai berdekatan, melakukan kebanyakan pembinaan dengan sendiri, dan berkhemah di tapak penginapan. Mereka memasak dan mandi “di tempat terbuka” dan Erle juga membina batas sayur-sayuran untuk menanam beberapa makanan mereka sendiri.

    “Kami sedia untuk bekerja keras untuk tempat ini, dengan semua wang kami—segala-galanya,” kata Erle. Mereka mengambil masa setahun untuk membina apa yang mereka panggil WonderINN Mirrored Glass Cabin—nama yang menurut Erle terinspirasi daripada bagaimana rumah kecil itu membuat orang “sentiasa tertanya-tanya apa yang ada di sebalik cermin.”

    Mereka tidak gemar membuat perancangan, jadi pasangan ini kebanyakannya bertindak mengikut gerak hati. “Kami menemui beberapa penginapan unik yang luar biasa untuk mencari inspirasi,” katanya. “Melihat apa yang ditawarkan dan difikirkan oleh orang lain sering membantu, dan kami juga terinspirasi semasa mencari penginapan di Airbnb dan memahami apa yang dilakukan oleh orang lain.”

    Mereka memilih penampilan yang bersih dan moden, tetapi turut menambah butiran yang mencerminkan personaliti mereka. Contohnya, bilik tidur tetamu kecil yang dibina di luar rumah utama ini diinspirasikan daripada label bir Belgium kegemaran Jeremy yang berbentuk katedral. Dalam proses itu banyak yang mereka pelajari, dan mereka menyukainya.

    Menguasai seni menjadi hos

    Sebaik sahaja mereka selesai membina dan melengkapkan rumah kecil ini dengan perabot, mereka menyenaraikannya di Airbnb. Tempahan masuk dengan pantas, dan dalam masa beberapa bulan, kalendar mereka penuh selama berminggu-minggu lebih awal. Tambahan pula, mereka telah jatuh cinta dengan menjadi hos. “Jika ada satu perkara yang mungkin lebih kami sukai daripada mengembara, ia adalah menjadi hos,” mereka menulis pada profil mereka.

    “Jika ada satu perkara yang mungkin lebih kami sukai daripada mengembara, ia adalah menjadi hos.”
    Erle, Airbnb Superhost,
    Norway

    Purata penarafan 4.96 menjadi bukti kepada ulasannya yang menarik: “mempesonakan”, “penuh keajaiban”, dengan “pemandangan menakjubkan” dan “cendawan dan buah beri liar berhampiran.” Seorang tetamu menulis, “Saya menangis apabila melihatnya.”

    Erle dan Jeremy suka membuat tetamu mereka gembira, tetapi mereka lebih suka membiarkan tetamu mereka merasakan kehebatan hidup secara sederhana. Itulah salah satu sebab mereka pilih untuk berbelanja besar untuk kaca cermin. Dari dalam, dinding kaca menampakkan pemandangan sungai yang luas; dari luar, kaca cermin memantulkan pemandangan hutan dan langit.

    “Maklum balas yang kami terima sangat menakjubkan, dan anda boleh menegaskan kepada orang ramai bahawa ini sahaja yang anda perlukan,” kata Erle. “Saya benar-benar prihatin tentang alam sekitar, jadi ini juga selari dengan nilai-nilai saya—bahawa kita tidak memerlukan banyak untuk hidup gembira. Apabila kita menyisihkan semua perkara yang tidak berguna, kita boleh memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting.”

    Membayangkan masa depan yang cerah dan kecil

    Erle dan Jeremy, yang kini tinggal di pangsapuri kira-kira 20 minit dari penginapan ini, berkata secara keseluruhannya mereka melabur kira-kira $175,000 ke dalam rumah kecil mereka dan memperoleh semula pelaburan itu dalam masa kurang daripada dua tahun menjadi hos.

    Malah, menjadi hos membuka ruang untuk mereka—untuk menerokai minat mereka dan mengukuhkan kewangan mereka—sehingga mereka telah membina dua rumah kecil yang serupa di tanah ladang berhampiran: Cabin Boho dan Cabin Kønn.

    Erle dan Jeremy kini ingin menganjurkan Pengalaman Airbnb yang membolehkan tetamu mereka kembali mendekatkan diri dengan alam semula jadi melalui aktiviti seperti berinteraksi dengan haiwan ladang dan meneroka sungai menggunakan bot. “Luangkan sejenak untuk menikmati pemandangan merentasi delta,” mereka menulis dalam keterangan penyenaraian mereka. “Anda biasanya boleh melihat burung raja udang, burung lang tiram, elg, dan juga helang!”

    Walaupun mereka berharap untuk terus dibimbing oleh naluri, Erle dan Jeremy membayangkan menjadi hos untuk lebih banyak rumah kecil pada tahun-tahun akan datang. Mereka tidak tahu sama ada akan kembali ke gaya hidup nomad. Buat masa ini, mereka begitu jatuh cinta dengan rumah kecil mereka sehingga rasa sukar untuk ditinggalkan.

    “Rancangan asal saya ialah, kami akan memulakan ini dan kemudian mengembara selagi kami masih ada sumber pendapatan,” kata Erle. “Tetapi kini kami berada di sini sepanjang masa untuk memastikan semuanya sempurna. Dan rumah-rumah ini dirasakan seperti bayi kami, jadi sukar untuk ditinggalkan.”

    Berminat untuk menjadi hos rumah kecil anda sendiri?

    Sorotan

    • Semasa mengelilingi dunia, pasangan ini menemui kebahagiaan dalam sebuah karavan

    • Mereka mula menjadi hos rumah kecil untuk menunjukkan kepada tetamu kehebatan hidup secara sederhana

    • Setelah menjadi Superhost, mereka mengatakan bahawa mereka lebih gemar menjadi hos berbanding mengembara

    Airbnb
    18 Feb 2021
    Adakah ini membantu?